RUMIONFIRE

Wednesday, June 28, 2006

KONGSI GELAP

KUALA LUMPUR, 11/01/1995

* This was written when i was still a journalist.
KETIKA berada di sebuah sekolah di Kampar, Perak, saya diberitahu oleh seorang rakan bahawa dengan menyertai kumpulan kongsi gelap `01' akan menjamin keselamatan saya di sekolah.

Pada mulanya saya takut kerana bimbang dimarahi ibu bapa atau pelajaran akan terganggu.

Bagaimanapun, pada hari kelima persekolahan di tingkatan satu bermula, saya dibelasah oleh seorang pelajar tingkatan empat tanpa sebarang sebab.

Apabila diselidik, saya diberitahu oleh rakan pelajar tingkatan empat itu bahawa saya dibelasah kerana cara saya berjalan seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk, terutama kerana ketinggian saya melebihi pelajar itu.

Sejak itu, saya menyimpan dendam terhadap pelajar berkenaan dan bertekad akan membalas perbuatannya dengan lebih teruk.

Saya menemui Steve (bukan nama sebenar) dan menyatakan persetujuan untuk menyertai kumpulan kongsi gelap `01' yang dipercayai berpusat di Mambang Di Awan iaitu sebuah pekan kecil di Kampar.

Saya terpaksa membayar RM10.80 sebagai yuran tahunan serta RM3.60 sebagai yuran bulanan dan Steve yang menjadi dalang kongsi gelap `01' di sekolah itu menjamin keselamatan saya dan berjanji akan membalas dendam terhadap pelajar tingkatan empat itu yang dikenali sebagai Sham (bukan nama sebenar).

Oleh itu, pada satu hari, ketika waktu rehat, empat rakan Steve berusia dalam lingkungan 20 tahun datang ke sekolah menemui saya dan mengarahkan saya menunjukkan kedudukan Sham ketika itu.

Sebaik sahaja tiba di meja makan Sham dan kira-kira 10 rakannya, keempat-empat lelaki yang tidak saya kenali itu menarik kepala Sham dan membawanya ke arah gelanggang bola keranjang berdekatan dan diikuti berpuluh-puluh pelajar.

Seorang daripada empat lelaki itu kemudian memanggil saya dan mengarahkan saya memukul Sham tetapi kerana tidak sampai hati, saya tidak berbuat demikian.

Sehubungan itu, keempat-empat lelaki terbabit membelasah Sham hingga mukanya bengkak dan semua pelajar serta lelaki terbabit melarikan diri apabila beberapa guru tiba.

Sejak itu, saya mula ditakuti pelajar lain, terutama mereka yang lebih senior dan saya sering memukul pelajar lain apabila diajak berbuat demikian oleh Steve.

Nilai perikemanusiaan saya sudah hilang dan saya tidak pernah menolak pelawaan Steve untuk membelasah pelajar lain yang kononnya `kurang ajar' dengannya.

Pada suatu ketika, saya pernah mencekik seorang pelajar senior hingga dia sukar bernafas kerana membocorkan rahsia saya dengan rakan lain bermain judi di dalam tandas.

Keadaan itu berlarutan hingga saya melangkah ke tingkatan tiga dan kedaaan menjadi lebih tegang apabila saya mula menyertai pergaduhan membabitkan orang luar dari sekolah.

Bagaimanapun, ketakutan saya mula dirasakan apabila Steve mengajak saya bergaduh dengan kumpulan kongsi gelap lain di satu tempat yang dirahsiakan.

Saya pergi ke rumah Steve dan melihat dia sudah siap mengasah parang panjang dan sebilah pedang samurai yang dibuat sendiri.

Pada ketika itu, saya memberikan alasan terpaksa pulang ke kampung bersama keluarga dan tidak dapat menyertai pergaduhan itu.

Tiga hari selepas itu, apabila saya menemui Steve, saya melihat lehernya luka teruk dan dikenakan lebih 10 jahitan dan Steve memberitahu seorang rakan kami bernama Sak Yan yang berusia 23 tahun (bukan nama sebenar) terbunuh dalam pergaduhan itu.

Sejauh mana kebenaran yang dikatakan oleh Steve saya tidak pasti sehingga sekarang, tetapi apa yang pasti ialah saya tidak melihat Sak Yan selepas itu.

Beberapa minggu selepas itu, Steve mengajak saya menyertai upacara sumpah ahli kongsi gelap `01' dan saya hampir bersetuju.

Tetapi saya mula resah apabila diberitahu saya terpaksa minum darah ahli 'kanan' kumpulan itu dan tangan saya perlu dilukis tatu.

Saya kemudian memberitahu hasrat saya untuk meninggalkan kumpulan itu kepada Steve dan saya dibawa menemui seorang ahli kanan mereka.

Ahli kanan kumpulan itu kemudian memberitahu tindakan saya meninggalkan kumpulan itu adalah salah dan boleh dihukum tetapi saya dibenarkan berbuat demikian kerana saya belum bersumpah.

Berdasarkan pengalaman itu, saya bernasib baik kerana menyedari kesilapan saya lebih awal sebelum terjebak dengan lebih serius.

Saya kemudian bertukar sekolah hanya satu kilometer dari rumah dan mula bergaul dengan rakan yang baik.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home